Selasa, Mei 26, 2015

Amalan Zikir Tahlil 70,000 kali...

Amalan bertahlil dengan ucapan لا اله الا الله sebanyak 70,000 kali telah lama jadi amalan sebahagian ulama kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Bahkan masyhur di kalangan kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah yang 70,000 kali tahlil ini disebut sebagai "Tahlil Sekhatam" atau "Tahlil Sejuzuk", yakni satu khatam bagi nisab tahlil. Para ulama kita menganjurkan amalan ini sebagai satu ikhtiar memohon kelepasan dari azab neraka yang sangat pedih itu. Sebahagian ulama menggelar amalan tahlil sekhatam ini sebagai "al-`ataaqah" yakni pembebasan atau permerdekaan, dengan harapan agar sesiapa yang melaksanakannya dibebaskan atau diberi kemerdekaan daripada api neraka. Ada juga yang menamakannya sebagai "Tahlil Fida`", yakni berzikir dengan lafaz tahlil dengan harapan untuk menebuskan diri dari api neraka, Allahumma ajirna minan naari saalimin. Di sini tak perlulah kita nak berbalah pasal bid`ah membid`ah, suka amal silakan, tak suka amal silakan ...... Aiman tak keesaah, aku pun tak keesssaaaaaahhh. Sendiri punya lubang kubur, sendiri tanggung, cuma sewaktu hidup inilah kita memperbanyakkan amal ibadah, buat bekalan kita di sana.

Habib Abu Bakar Al`aththas bin `Abdullah al-Habsyi rahimahullah dalam karya beliau "Tadzkirun Naas" pada halaman 375 menukilkan bahawa Imam Habib Ahmad bin Hasan al-Aththas rahimahullah, antara lainnya, berpesan:-

" ... Dan sesiapa yang luput baginya menuntut ilmu (yakni kerana  tiada peluang atau kerana ketidakmampuannya untuk berbuat sedemikian), maka janganlah luput baginya segala mihrab (yakni jangan pula dia menjadi lalai untuk memperbanyakkan amal - ibadah dengan melazimi segala masjid). Bahkan dia hendaklah menyibukkan dirinya dengan shalat dan dzikrullah dengan dia melakukan "al-`ataaqah" iaitu bertahlil 70,000 kali dengan niat memohon pembebasan bagi dirinya daripada api neraka. Dan dilakukannya juga dengan yang seumpamanya (yakni tahlil 70,000 kali tadi) dan dihadiahkannya kepada seseorang kaum kerabatnya."
Juga telah masyhur dalam kitab - kitab karangan para ulama yang muktabar tentang kisah keberkatan amalan ini. Syaikhul Hadits, Rai-sul Muhadditsin, Hadrat Maulana Muhammad Zakaria al-Kandhalawi rahimahullah dalam karya beliau "Fadilat Zikir" halaman 556 {himpunan "Fadilat 'Amal (Bahasa Melayu) Edisi Semakan Terkini 1434H} menukilkan kisah berikut:-
Syaikh Abu Yazid al-Qurtubi rahimahullahu ta`ala berkata," Saya dengar bahawa sesiapa yang membaca لا اله الا الله tujuh puluh ribu kali maka dia akan terselamat daripada api neraka. Setelah mendengar perkara tersebut maka saya telah membaca satu himpunan bacaan yakni tujuh puluh ribu kali untuk isteri saya dan beberapa himpunan bacaan untuk simpanan akhirat saya sendiri. Seorang anak muda tinggal berhampiran dengan kami. Dia masyhur sebagai seorang yang mempunyai kasyaf. Dikatakan syurga dan neraka juga dapat dilihatnya melalui kasyaf. Saya ragu-ragu mengenai kebenaran berita tersebut. Satu ketika pemuda itu bersama kami dalam (majlis) makan. Dengan tidak semena-mena pemuda itu menjerit dan nafasnya mulai tersekat-sekat serta berkata, "Ibuku sedang dibakar di dalam neraka, aku dapat melihat keadaannya."

     Kata Hadrat Qurtubi rahimahullahu ta`ala, "Aku melihat keadaannya yang sangat gelisah. Saya terfikir bahawa satu himpunan bacaan لا اله الا الله perlu dihadiahkan kepada ibunya. Dengan ini saya dapat mengetahui kebenaran perkara di atas. Maka saya telah menghadiahkan untuk ibunya satu himpunan iaitu tujuh puluh ribu zikir لا اله الا الله daripada simpananku secara diam-diam. Zikir yang saya baca itu sebenarnya tidak diketahui oleh sesiapa pun selain Allah subhanahu wa ta`ala.

          Lalu pemuda itu berkata, "Pak Cik, ibuku telah dihindarkan daripada azab neraka." Kata Hadrat Qurtubirahimahullah, "Aku telah memperoleh dua faedah daripada peristiwa ini. Pertama, terbukti bagiku keberkatan daripada bacaan tujuh puluh ribu kali لا اله الا الله sebagaimana yang aku dengar (mengenai kelebihan kalimah tersebut). Kedua, aku meyakini kebenaran kata-kata pemuda itu."


          Peristiwa ini hanya satu daripada kisah - kisah yang kita tidak tahu berapa banyak lagi kisah seumpama itu berlaku dalam kalangan individu umat ini.

Oleh itu, tinggalkanlah perbalahan mengenai isu - isu yang diikhtilafkan oleh para ulama. Banyakkan beramal daripada berjidal. Ingat tidak ada seorang pun daripada kita ini melainkan sedang berjalan menuju kematian. Allahu ... Allah, mudah-mudahan dengan keberkatan kalimah thayyibah ini kita diselamatkan dari azab neraka yang pedih dan dahsyat.


Di copypaste sepenuhnya dari blog Bahrus Shofa
RITEQ Sandakan....adalah perkongsian secebis dari kisah hidupku, pendapat peribadiku, dan secubit pengalaman dari kisah-kisah rawatan...Dan jika ada artikel yang aku copy paste di sini bukan bertujuan untuk menciplak, tapi untuk dikongsi dan disebarkan....InsyaAllah, pasti dinyatakan tuan punya hak artikel tersebut....jika ada protes, sila e-mail saja, tindakan akan diambil serta-merta.

Lain-lain catatan yang mungkin ingin anda baca...