Ancaman IFC dan Pluralisme: Kita mudah lupa...
Oleh Zaini Hassan
Sumber
© Utusan Melayu (M) Bhd
© Utusan Melayu (M) Bhd
TIADA mana-mana
makhluk hatta haiwan sekali pun akan duduk diam jika hak dan wilayahnya
diganggu-gugat.
China sedang bengang
dengan Jepun kerana negara matahari terbit itu menganggap sebuah pulau kecil,
bernama Senkaku sebagai wilayahnya. China menamakan pulau itu sebagai Diaoyu.
Filipina juga
menyebabkan China dan negara-negara lain termasuk Malaysia mengerut kening
kerana menghantar 800 askar tambahan ke Pulau Pagasa dalam gugusan Kepulauan
Spratly. Gugusan itu dituntut oleh beberapa negara di sekitar Laut China
Selatan.
Kucing rumah saya
akan meremang bulunya dengan sergahan marah jika kucing lain masuk ke rumah
saya.
Bagi binatang, garis
teritorialnya ialah berdasarkan air kencing dan najisnya.
Begitu juga umat
Islam jika agamanya dihina maka satu ummah dunia boleh bangkit.
Jadi tiada salah jika
kita ingat mengingati supaya jangan ada pihak yang membawa isu-isu yang boleh
mengganggu-gugat hak orang lain.
Tidak salah jika saya
ingatkan umat Islam negara ini mengenai tuntutan-tuntutan cadangan penubuhan
IFC atau Suruhanjaya Antara Agama (Interfaith Commission) yang pernah
dibangkitkan tidak lama dulu, tapi ditolak oleh kerajaan ini.
Oleh kerana kita ini
mudah lupa, niat saya ialah sekadar mengingatkan kembali kerana tidak mustahil
tuntutan-tuntutan itu akan menjadi realiti dan kenyataan jika kerajaan BN di
bawah naungan UMNO ini jatuh dalam PRU-13 ini.
Dengan niat ikhlas
untuk ingat-mengingati sesama kita, bacalah mengenai IFC, pluralisme dan
tuntutan-tuntutan itu.
Gerakan Pluralisme
Agama di Malaysia tidak dapat dilihat dengan jelas atau secara rasmi berbanding
di Indonesia.
Di Indonesia, pada
tanggal 28 Julai 2005, Majlis Ugama Islam Indonesia (MUI) menerbitkan fatwa
yang melarang pluralisme. Dalam fatwa tersebut, pluralisme agama didefinisikan
sebagai:
Suatu fahaman yang mengajarkan
bahawa semua agama adalah sama dan kerananya kebenaran setiap agama adalah relatif; oleh sebab itu, setiap pemeluk agama tidak
boleh menuntut bahawa hanya agamanya saja yang benar sedangkan agama yang lain
salah. Pluralisme juga mengajarkan bahawa semua pemeluk agama akan masuk dan
hidup dan berdampingan di syurga".
MUI dengan jelas
menyatakan bahawa pluralisme dalam konteks agama bertentangan dengan ajaran
agama Islam.
Apa yang berlaku di
Malaysia ialah idea pluralisme agama ini berkembang melalui pendekatan secara
tidak langsung. Ia boleh dilihat dalam beberapa isu yang mula timbul.
Analoginya pada tahun 2001, timbulnya satu cadangan untuk menubuhkan IFC. IFC
ini merupakan satu Suruhanjaya yang dicadangkan penubuhannya sebagai badan
berkanun yang mempunyai kuasa undang-undang yang boleh mengubah ajaran sesuatu
agama akibat desakan agama lain.
Suruhanjaya ini boleh
berfungsi sebagai sebuah mahkamah atau satu badan berkanun seakan-akan satu
badan seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia yang menerima dan melayan
aduan-aduan khususnya yang berkaitan dengan agama.
Penubuhan IFC ini
dicadangkan oleh Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity,
Hinduism and Sikhism (MCCBCHS) melalui memorandum mereka yang dihantar oleh
Presiden MCCBCHS kepada Majlis Peguam bertarikh 21 Ogos 2001.
TERDAPAT 14 TUNTUTAN
IFC:
1. Seorang anak yang
dilahirkan oleh ibu bapa Islam tidak mengharuskan secara terus menjadi orang
Islam.
2. Orang bukan Islam
yang telah memeluk agama Islam hendaklah diberi kebebasan untuk kembali kepada
agama asal mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.
3. Sebarang kes
pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan
oleh Mahkamah Syariah tetapi dikendalikan oleh Mahkamah Sivil.
4. Tidak perlu
dicatatkan di dalam kad pengenalan seseorang Muslim bahawa ia beragama Islam.
5. Orang bukan Islam
tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang
Islam. Orang Islam hendaklah dibenarkan keluar daripada Islam (murtad)
sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan
apa-apa tindakan undang-undang.
6. Seseorang atau
pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut
diberikan hak jagaan anak.
7. Orang bukan Islam
yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seseorang yang memeluk Islam
hendaklah diberi hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya.
8. Kerajaan hendaklah
menyediakan dana yang mencukupi untuk membina dan menyelenggarakan rumah-rumah
ibadat orang bukan Islam sebagaimana kerajaan menyediakan dana yang serupa
untuk masjid.
9. Orang bukan Islam
hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan
perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya.
10. Bible dalam
bahasa Malaysia dan Indonesia sepatutnya dibenarkan kepada umum secara terbuka.
11. Pelajaran agama
bukan Islam untuk penganut agama itu hendaklah diajar di semua sekolah.
12. Program-program
berunsur Islam dalam bahasa ibunda sesuatu kaum hendaklah ditiadakan. Program
dakwah agama lain selain Islam hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam
bahasa ibunda masing-masing.
13. Orang Islam yang
membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan
dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan juga untuk keperluan orang bukan
Islam.
14. Sepatutnya Islam
tidak disebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal
pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah.
APA IMPLIKASI ANCAMAN
IFC TERHADAP ISLAM?
1. Membuka ruang
seluas-luasnya kepada orang bukan Islam mencampuri Hal Ehwal Agama Islam.
2. Menjadikan
undang-undang Allah perlu tunduk kepada norma-norma antarabangsa yang dicipta
manusia yang jelas menjejaskan akidah.
3. Orang Islam bebas
melakukan apa saja tanpa batasan.
4. Orang Islam bebas
untuk murtad.
5. IFC berhak untuk
menentukan status agama seseorang.
Sebagai umat Islam
yang berpegang teguh kepada ajaran Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad
SAW kita haruslah menentang sekeras-kerasnya penubuhan IFC.
Tiada satu pun agama
di dunia ini yang sanggup menerima campur tangan oleh mereka yang bukan
penganutnya.
Penubuhan IFC
pastinya akan menimbulkan ketegangan antara agama yang bakal mengugat
keselamatan negara.
Oleh kerana saya
rakyat Malaysia dan beragama Islam, saya berhak mengingat-ingatkan semula
ancaman ini kepada semua.
Orang tua-tua dulu
pernah berpesan: Jangan bermain dengan api...